Saturday 11 June 2011

PENGGUNAAN ALAT TEKNOLOGI PENDIDIKAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK

ULASAN ARTIKEL : PENGGUNAAN ALAT TEKNOLOGI PENDIDIKAN

DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK
Wan Hamzari Bin Wan Hamid
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia 


Artikel ini merupakan satu kajian yang telah dilakukan oleh Bhasah Abu Bakar, Abd. Rahman Daud & Fairuz Abdul Haleem Shah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak (UPSI). Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti takat penggunaan Alat Teknologi Pendidikan Matematik (ATPM) di sekolah-sekolah. Kajian ini meliputi sekolah yang pelbagai aliran seperti Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Menengah (SM).


Artikel ini merupakan satu kajian yang telah dilakukan oleh Bhasah Abu Bakar, Abd. Rahman Daud & Fairuz Abdul Haleem Shah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak (UPSI). Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti takat penggunaan Alat Teknologi Pendidikan Matematik (ATPM) di sekolah-sekolah. Kajian ini meliputi sekolah yang pelbagai aliran seperti Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Menengah (SM).
Kajian ini dilakukan berdasarkan daripada beberapa masalah yang telah digariskan iaitu kekurangan kemudahan IT yang disediakan di sekolah, sikap guru terhadap penggunaan ATPM, kursus atau latihan guru terhadap penggunaan ATPM dan pengurusan sekolah ke atas pengurusan bilik sumber. Menurut Muhammad Khairuddin Lim, Ibrahim bin Tamby Chek (2006), mendapati bahawa guru yang mampu mengawal bilik darjah dengan cara yang tersendiri mampu mempengaruhi penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran yang di ajar. Kekangan-kekangan ini mungkin mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Pembelajaran yang berkesan juga dianggap sebagai pembelajaran yang menyeronokkan (Dick & Reiser, 1989).
Kemahiran guru dalam menggunakan ATP juga memainkan peranan yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran dan ia tidak akan berkesan jika kemahiran ini tiada seperti yang didapati oleh Blondin (1966) bahawa salah satu faktor penghalang penggunaan ATP ialah kekurangan kemahiran di kalangan
guru-guru. Pentadbiran sekolah juga merupakan halangan terhadap penggunaan
ATP di sekolah.
Terdapat beberapa persoalan tentang penggunaan ATPM di sekolah antaranya termasuklah menentukan tahap penggunaan ATPM berdasarkan aliran sekolah, mengenalpasti penggunaan ATPM dalam kalangan guru wanita dan lelaki, menentukan takat kecukupan ATPM di pusat sumber, menentukan takat penggunaan ATPM oleh guru-guru matematik, mengkaji penggunaan ATPM oleh guru-guru berdasarkan peringkat umur, dan menentukan sumber guru mendapatkan kemahiran menggunakan ATPM.
Antara faktor yang telah dikenal pasti dalam kajian literatur sebagai faktor yang memainkan peranan dalam penggunaan ATPM di sekolah iaitu sikap guru terhadap penggunaan ATPM, kemahiran guru terhadap penggunaan ATPM, kursus dan latihan guru ke atas penggunaan ATPM, dan pengurusan sekolah terhadap penggunaan ATPM.
Kajian ini dijalankan secara tinjauan menggunakan kaedah pensampelan tinjauan dan menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen kajian. Data yang dipungut telah dianalisis menggunakan pakej SPSS Windows Versi 11. Statistik deskriptif dan inferential telah digunakan untuk menganalisis semua data kajian termasuklah kekerapan, peratusan, min, sisihan piawai, chi-ganda dua, anova dan ujian-t. Dalam artikel ini, ia menggunakan sebanyak 314 buah sekolah yang terdiri daripada guru-guru dari sekolah rendah dan menengah sebagai sampel kajian.
Berdasarkan dapatan kajian yang telah dilakukan, didapati bahawa peralatan moden seperti televisyen, video dan komputer kurang digunakan berbanding kaedah konvensional iaitu menggunakan Carta Matematik, Model, poster matematik dan peralatan matematik. Dalam kaedah pengajaran konvensional, pengajar memberi penerangan dan menyebarkan ilmu berpusat di
dalam kelas dan bergantung kepada silibus dan kaedah pengajaran oleh tenaga pengajar. Setiap tenaga pengajar juga mempunyai pendekatan berbeza mengikut inisiatif mereka untuk memberi penjelasan terhadap topik atau bab yang diajar. Namun begitu, terdapat juga pelbagai bahan sumber pendidikan termasuk kemudahan maklumat dari sumber elektronik dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar (Ismail Zain, 2002).
Hampir 50% dari setiap jenis sekolah tidak pernah menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran mereka di bilik darjah. Ini terbukti bahawa, guru masih lagi ketinggalan dalam dunia teknologi. Mengikut Mayer (2001, 2003) menyatakan bahawa pembelajaran multimedia merupakan bahan menggunakan perkataan dan gambar yang direka bentuk bagi menghasilkan pembelajaran bermakna. Sepatutnya guru mempelbagaikan gaya pengajaran mereka dengan menggunakan ATPM yang berteknologi dan terkini dan bukan hanya menggunakan kaedah konvensional. Dalam era globalisasi ini, guru perlu berani menggunakan ATPM yang berasaskan teknologi. Ini ditegaskan oleh Baharudin (2000), menyatakan bahawa visual grafik dan animasi dapat mempelbagaikan kaedah dan cara penyampaian oleh guru atau tenaga pengajar.
Dapatan dalam kajian ini juga menyatakan bahawa umur juga memainkan peranan dalam penggunaan ATPM bagi pengajaran dan pembelajaran. Didapati guru berumur antara 25 ke 35 tahun lebih aktif menggunakan ATPM berbanding dengan guru yang baru keluar dari maktab atau universiti. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan oleh semangat serta kudrat untuk mencurahkan ilmu kepada pelajar yang ada pada diri seseorang guru itu. Guru yang baru mula mengajar didapati lebih aktif menggunakan ATPM dari guru yang berumur lebih dari 35 tahun. Ini juga merupakan senario dalam dunia pendidikan di negara kita, di mana guru yang telah lama mengajar kurang menggunakan Alat Teknologi Pendidikan. Mungkin ia disebabkan oleh komitmen terhadap perkara lain bertambah serta semangat untuk mengajar dengan menggunakan Alat Teknologi
Pendidikan kian pudar dalam diri mereka. Bukan itu saja, tahap kecelikan dalam bidang IT juga merupakan faktor yang menghalang penggunaan Alat Teknologi Pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru yang telah lanjut usianya kurang berminat dalam perkara atau alat yang berkaitan dengan teknologi. Di sini, kita dapat lihat faktor umur memainkan peranan dalam penggunaan ATPM.
Kekurangan alat ATPM di pusat sumber dan latihan kepada guru juga mungkin menjadi salah satu punca guru-guru kurang menggunakan ATPM moden yang mungkin wujud di pusat sumber. Mereka kurang mendapat latihan daripada pihak yang berkuasa dan merasa ragu-ragu untuk mempelajari dari rakan sekerja ditakuti akan merosakkan alatan ATPM yang canggih itu. Keadaan ini mungkin disebabkan sistem pengendalian bilik sumber tidak membenarkan guru dapat menggunakan bilik sumber dengan bebas. Mereka terikat dengan beberapa peraturan yang menyekat kebebasan mereka menggunakan bilik sumber yang sepatutnya dapat membantu guru dalam menyediakan alat bantu mengajar. Menurut Zol (2001), ketiadaan Alat Bahan Bantu Mengajar (ABBM) merupakan punca pelajar selalu menghadapi masalah yang serius untuk memahami sesuatu konsep pembelajaran.
KESIMPULAN
Melalui kesimpulan dan perbincangan yang telah dilakukan menerusi kajian ini, didapati bahawa masih mengutamakan penggunaan ATPM konvensional daripada yang moden. Kajian ini juga mendapati bahawa peratusan guru yang tidak pernah menggunakan komputer dalam P&P adalah lebih tinggi daripada mereka yang menggunakan komputer dalam era IT masa kini. Dari sini dapat disimpulkan bahawa guru masih lagi kurang menggunakan ATPM secara keseluruhan iaitu menggabungkan kaedah konvensional dengan kaedah yang terkini untuk mendapatkan pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan. Pendekatan pembelajaran yang berkesan mengikut minat dan keinginan pelajar adalah perlu dibangunkan supaya pelajar seronok dengan apa yang mereka belajar dan sekali gus akan meningkatkan pencapaian pelajar (Ee Ah Meng, 1999).
Sebagai kesimpulannya, penggunaan Alat Teknologi Pengajaran memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Pemilihan Alat Teknologi Pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan tepat memainkan peranan yang penting dalam keberkesanan sesuatu pembelajaran. Guru perlu mempunyai pengetahuan dalam mengenalpasti Alat Teknologi Pengajaran yang perlu digunakan untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, kemahiran mengendalikan Alat Teknologi Pengajaran perlu ada pada setiap guru tidak mengira umur, jantina, jenis sekolah yang diajar dan pengalaman mengajar kerana ia merupakan aspek yang penting untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran serta pendidikan di negara kita.
RUJUKAN
Baharuddin Aris, Manimegalai Subramaniam & Rio Sumami Shariffudin (2001).
Reka bentuk Perisian Multimedia. Muapakat Jaya Percitakan Sdn. Bhd.
Blondin, M.A. (1966). A Study to Determine Some of the Different To the Use of
New Educational Media among Secondary and Elementary Principal and
Teachers. Unpublished M.A thesis.University ateneo De Manila
Dick ,W. & Reiser, R.A. (1989). Planning Efective Instruction. Prentice-Hall.
Ee Ah Meng (1999). Psikologi Pendidikan I: Psikologi Perkembangan. Penerbit
Fajar Bakti Sdn. Bhd.
http://www.scribd.com/doc/24190595/PENGGUNAAN-ALAT-TEKNOLOGI-PENDIDIKAN-DALAM-PENGAJARAN-DAN-PEMBELAJARAN-MATEMATIK

1 comment:

  1. Blog yang bermaklumat.Semoga maklumat itu dapat digunakan oleh guru di dalam P&P kita seharian.

    ReplyDelete